Pages

Thursday, November 29, 2007

ANAK DALAM KANDUNGANKU HILANG

Pseudosiasis

Pernahkah anda mendengar cerita mengenai anak di dalam kandungan wanita yang mengandung hilang tiba-tiba. Kononnya di bawa lari oleh bunian dan sebagainya. Peristiwa ini bukan sahaja berlaku di kalangan masyarakat Melayu tetapi sebenarnya telah lama ( semenjak 300 tahun sebelum Masihi) ditulis oleh Hippocrates. Ia juga berlaku di kalangan masyarakat barat. Kisah sejarah Mary Tudor (1516-1558), Ratu England yang percaya bahawa beliau telah mengandung tetapi sebenarnya tidak adalah salah satu kisah yang menggambarkan fenomena ini. Pseudosiasis (Pseudocyesis) atau mengandung palsu merupakan masalah psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar.

Kisah berikut menggambarkan bagaimana bantuan pakar psikitri perlu untuk pesakit pseudosiasis.

“ Puan Mon (bukan nama sebenar) berumur 37 tahun dan baru mendirikan rumahtangga. Beliau merasa tertekan kerana telah lanjut usia dan belum melahirkan anak. Suami dan keluarga mentua juga asyik mendesak beliau untuk menimang cahaya mata. Awal tahun ini haidnya mula tidak teratur dan akhirnya berhenti. Beliau mula merasa loya-loya di waktu pagi. Payu daranya mula membengkak dan perutnya semakin membesar. Puan Mon pergi ke klinik antenatal tetapi tidak menjalankan ujian air kencing mahupun ultrasound untuk kepastian. Menurut bidan yang bertugas rahimnya menunjukkan kandungan telah berumur 20 minggu. Beliau meneruskan pemeriksaan antenatal sehinggalah beberapa bulan kemudian beliau bermimpi yang beliau telah melahirkan anak berbidankan seorang perempuan tua. Setelah bangun daripada tidur didapatinya perutnya telah mengempis. Beliau segera menjalani ujian ultrasound untuk kepastian. Pemeriksaan doktor dan ujian ultrasound tidak menyokong dakwaan beliau. Beliau berkeras bahawa beliau telah mengandung dan telah melahirkan anak. Beliau mahu mendapat cuti sakit selama dua bulan seperti yang diperuntukkan.”

TANDA-TANDA PSEUDOSIASIS

Tanda-tanda pseudosiasis sama seperti perubahan yang dialami oleh wanita yang mengandung dan amat sukar dibezakan diantara mengandung sebenar dan mengandung palsu. Lapan belas peratus daripada wanita yang mengalami pseudosiasis pernah didiagnos mengandung oleh doktor atau bidan sendiri. Dalam kes tertentu perbezaannya cuma kehadiran janin di dalam kandungan sahaja.

Wanita yang mengalami pseudosiasis biasanya akan berkeyakinan tinggi bahawa mereka mengandung. Seramai 63%-97% daripada mereka mempunyai abdomen atau perut yang membesar seperti mengandung normal. Fenomena ini adalah disebabkan pertambahan gas, lemak , najis atau urin .

Tanda-tanda lain yang kerap adalah kitaran haid yang tidak teratur dan kebanyakannya haidnya terhenti. Antara 56% hingga 98% wanita dengan pseudosiasis mengalaminya. Memeranjatkan 48% hingga 75% daripada mereka merasa pergerakan janin walaupun tiada janin di dalam rahim!. Tanda-tanda lain termasuk payu dara membengkak dan mengeluarkan sekresi, rahim membesar dan 1% mengalami proses kelahiran itu sendiri!.


PENYEBAB PSEUDOSIASIS

Tiada sebab yang tepat dapat menerangkan fenomena ini. Pakar psikiatri dan psikologi percaya ia disebabkan tekanan emosi yang tinggi untuk melahirkan zuriat merupakan punca pseudosiasis. Dengan melahirkan anak , wanita telah dianggap isteri dan perempuan yang sempurna di mata suami , keluarga dan masyarakat. Tekanan yang terlalu kuat telah di kaji dapat menyebabkan perubahan hormon dan kawalan sistem saraf sehinggakan dapat merangsang organ-organ seks berubah seperti tubuh wanita yang sebenarnya mengandung.

RAWATAN

Wanita yang mengidap pseudosiasis tidak harus dipersalahkan dan dianggap pembohong atau malingering kerana fenomena itu berlaku tanpa mereka sedari dan di luar kawalan mereka. Sokongan suami dan keluarga adalah penting. Konflik yang berlaku perlu mendapat perhatian pakar psikitri atau psikologi. Keluarga perlu mengetahui apa itu pseudosisis dan menyedari bahawa tekanan yang berlebihan akan menyebabkan gangguan mental. Pakar psikologi dapat membantu untuk anda menyelesaikan masalah, mengawal perasaan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran. Jika bebanan masalah yang besar dialami oleh wanita tersebut sehingga menyebabkan kemurungan, ia perlu dirawat dengan segera oleh pakar psikistri. Rujukan kepada pakar sakit puan boleh dibuat jika terdapat masalah ketidaksuburan jika ia berkaitan.

RUJUKAN

Sadock, Benjamin J. and Virginia A. Sadock, eds. Comprehensive Textbook of Psychiatry. 7th ed. Vol. 2. Philadelphia: Lippincott Williams and Wilkins, 2000.
Drife JO. Phantom pregnancy Br Med J (Clin Res Ed). 1985 September 14; 291(6497): 687–688.