Mendalami Kesedihan Anak Remaja
Oleh: Dr. Salmi binti Razali
Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan
Fakulti Perubatan UiTM 11 November 2007
Semakin banyak kita dengar di dada akhbar berita mengenai remaja yang bermasalah. Salah satu punca berlaku masalah yang tidak mendapat perhatian masyarakat umum adalah kemurungan di kalangan remaja (Depression among adolescent). Kemurungan merupakan suatu penyakit yang dapat dirawat dengan kaunseling, psikoterapi, ubat-ubatan dan bantuan psikososial yang lain.
Senario kes:
“ Puan Ana seorang setiausaha dan ibu tunggal yang mempunyai 3 orang anak belasan tahun. Tiga tahun yang lalu beliau telah berpisah dengan suaminya setelah berselisih faham mengenai tabiat buruk suaminya yang suka berjudi dan mabuk. Anak sulongnya , Asyraf pelajar Tingkatan 5 selalu ponteng sekolah dan bergaul dengan Mat Rempit. Aliana masih di Tingkatan 3, lebih gemar menyendiri di bilik dan tidak bergaul mesra lagi dengan ahli keluarga yang lain. Aliana telah beberapa kali lari dari rumah tanpa pengetahuan ibunya. Anak bongsunya Adlin di Tingkatan 1 merupakan tempat Puan Ana meluahkan perasaan dan segala permasalahannya”.
Kesedihan dan kemurungan
Perasaan sedih (sadness, unhappiness) adalah suatu anugerah yang diberi oleh tuhan kepada semua manusia sebagai salah satu komponen emosi. Adalah normal untuk merasa sedih jika kita di timpa masalah atau musibah seperti masalah rumahtangga, kematian dan sebagainya. Namun kesedihan yang berpanjangan sehingga menyebabkan kita tidak lagi dapat berfungsi dengan baik dalam meneruskan kehidupan merupakan salah satu tanda penyakit yang dipanggil kemurungan ( depression).
Adakah kemurungan kerap berlaku di kalangan remaja?
Dianggarkan dua daripada seratus (2%) orang kanak-kanak di sekolah rendah dan empat hingga 8 daripada seratus (4%-8%) orang remaja mengalami kemurungan .Di Malaysia, satu kajian terbaru oleh pensyarah dan pakar psikitri Fakulti Perubatan UiTM di kalangan 2048 pelajar dari beberapa sekolah menengah di bandar dan luar bandar Selangor mendapati 211 (10.3%) pelajar mempunyai tanda-tanda kemurungan.
Bagaimana mengesan kemurungan di kalangan remaja?
Kemurungan di kalangan remaja memang sukar untuk dikesan walaupun kajian mendapati episod kemurungan itu adalah berpanjangan dan berulang. Di antara tanda-tanda remaja yang murung selain daripada merasa sedih adalah:
ü Remaja merasa bosan, kesunyian dan kosong.
ü Tidak bergaul dengan kawan-kawan atau keluarga seperti sebelumnya
ü Masalah disiplin
ü Perasaan marah terutama apabila dikritik
ü Prestasi akademik yang merosot
ü Kurang motivasi, semangat atau tenaga
ü Mudah lupa dan kurang penumpuan semasa belajar
ü Tidak boleh duduk diam (restless)
ü Penyalahgunaan dadah, morokok ,atau alkohol
ü Perubahan selera makan, berat badan dan waktu tidur
ü Pembuli atau menjadi mangsa buli
ü Cubaan bunuh diri
Bahaya kemurungan di kalangan remaja?
Perbuatan membunuh diri merupakan masalah serius yang menakutkan dan ia boleh berlaku di kalangan remaja yang mengalami kemurungan. Suatu kajian mendapati prevalens remaja melakukan cubaan bunuh diri adalah 9.7% dan 29.9% remaja mempunyai perasaan untuk bunuh diri.
Hampir separuh (45%) remaja yang mengalami kemurungan akan berhadapan dengan risiko kemurungan semasa dewasa dan lebih kurang 20% akan mengalami bipolar disorder. Mereka juga berhadapan dengan masalah psikiatri yang lain seperti anxiety disorder, masalah personality dan lain lain lagi.
Ketagihan dadah boleh berlaku di kalangan remaja yang murung. Pengaruh kawan dan andaian bahawa dadah boleh menggembirakan merupakan salah satu penyebab mereka yang murung mula menghisap rokok atau mengambil dadah.
Remaja yang murung mudah terdedah kepada pengaruh kawan dan terlibat dengan aktiviti negatif lain seperti menjadi Mat Rempit, vandalism dan lain-lain kesalahan jenayah.
Bagaimana menangani masalah ini?
Masalah perlu ditangani oleh semua pihak bukan sahaja remaja itu sendiri tetapi ibubapa, guru, masyarakat dan kerajaan sendiri.
Tips untuk Puan Ana :
ü Bertindak segera dengan memulakan langkah pertama untuk menyelamatkan anak-anak dan keluarga anda
ü Kesedaran bahawa beliau dan anak-anak mungkin mengalami kemurungan dan perlukan bantuan.
ü Adakan sesi perbincangan dan dapatkan pandangan daripada anak-anak sendiri tentang masalah yang belaku Jangan melepaskan kemarahan anda kepada anak-anak dan berpada-pada mendisiplinkan anak kerana remaja tidak suka dikongkong.
ü Berbincang dengan guru dan kaunselor di sekolah untuk sesi kaunseling.
ü Berjumpalah dengan pakar psikologi atau psikiatrist kanak-kanak dan remaja untuk pandangan pakar dan rawatan lanjut kemurungan
ü Carilah kawan yang benar-benar dapat mendengar masalah dan menberi sokongan kepada anda . Libatkan diri dengan anda dengan aktiviti seperti persatuan ibu-ibu tunggal, family support group dan sebagainya.
ü Galakkan anak-anak menyertai kegiatan ko kurikulum, kem jati diri etc untuk meningkatkan sahsiah diri dan motivasi.