Pages

Wednesday, November 28, 2007

GILA MEROYAN

MASALAH PSIKOLOGI SELEPAS BERSALIN

Kelahiran anak tersayang merupakan saat-saat mendebarkan, yang dinantikan oleh sepasang kekasih yang baru mendirikan rumahtangga. Anak merupakan penyambung kasih antara dua insan yang bakal bergelar ibubapa. Namun, banyak perkara yang perlu ditempuhi dalam mengharungi dunia baru ini yang boleh menyebabkan stress kepada mereka.

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin. Gangguan emosi ini sebenarnya mempunyai spektrumnya tersendiri dari perubahan emosi yang tidak merbahaya atau dikenali sebagai postpartum baby blues sehinggalah penyakit mental yang serius , dikenali sebagai postpartum depression dan postpartum psychosis .

PENYEBAB GANGGUAN EMOSI SELEPAS BERSALIN

Penyebab sebenar gangguan psikologi selepas bersalin adalah tidak diketahui. Walaubagaimanpun telah banyak kajian dibuat yang menunjukkan interaksi antara masalah fizikal , masalah psikologi dan masalah sosial sama-sama menyebabkan gangguan emosi ini.

Secara fizikalnya, semasa mengandung, bukan sahaja hormon estrogen dan progesteron meningkat tetapi juga corticotrophin releasing hormone (CRH) dan hormon kortisol yang terlibat dalam mengawal stress juga meningkat. Sebaik sahaja kelahiran berlaku, hormon ini akan menurun dengan mendadak. Selain daripada itu ibu-ibu juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal seperti payu dara yang membengkak, penyusuan bayi susuk tubuh yang tidak lagi menarik, masalah semasa mengandung, masalah kelahiran , fizikal anak itu sendiri dan lain-lain lagi.

Secara psikologinya pula, peralihan kehidupan menjadi seorang ibu, tanggungjawab keibubapaan, kehilangan kebebasan hidup seperti sebelum mempunyai anak dan bayak masalah psikologi lain membelenggu bukan sahaja ibu-ibu tetapi juga si suami yang menjadi peyokong kuat kepada yang melahirkan anak.

Interaksi fizikal dan psikologi ini diburukkan lagi jika dengan masalah social seperti ibu-ibu tanpa suami, ibu remaja , masalah kewangan, masalah kekeluargaan danlain-lain lagi.


POSTPARTUM BABY BLUES

Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin. Ia boleh berlaku dari 60%- 80% ibu-ibu yang melahirkan anak. Perubahan emosi ini memuncak pada hari ke tiga hingga hari ke lima selepas bersalin. Ia akan berkurangan selepas lebih kurang sepuluh hari selepas bersalin dan akhirnya emosi mereka kembali kepada sedia kala. Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza.

Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan. Kesukaran untuk tidur lena dan perubahan selera makan berlaku (kurang selera makan atau sebaliknya). Mereka mudah merasa tertekan, cepat marah, risau dan mudah menangis atau sedih tanpa sebab yang jelas.

Pakar berpendapat perubahan fizikal seperti perubahan hormon yang ketara, perubahan susuk badan seperti payu dara yang membengkak menyebabkan ketidaselesaan , tidak cukup tidur dan kekurangan tenaga berperanan sebagai salah satu penyebab postpartum blues . Selain daripada itu faktor emosi seperti kurang sokongan daripada suami, fikiran risau dan bimbang sama ada mereka akan menjadi ibu yang baik, menyesuaikan diri dengan kehidupan baru and memikirkan tanggung jawag keibubapaan secara tidak langsung menyebabkan perubahan emosi ini. Ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi ini tidak perlu risau kerana ia hanyalah perubahan sementara. Tetapi jika ia bertambah buruk dan berpanjangan gangguan psikologi seperti kemurungan selepas bersalin mungkin berlaku.

Berikut adalah tips untuk membantu masalah ini.

1) Buat persediaan dengan mempelajari tanggungjawab sebagai ibubapa dari kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan sebelum mengandung.
2) Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami , ahli keluarga yang lain untuk memberi sokongan emosi jika anda merasa tertekan.
3) Dapatkan pembantu rumah atau ahli keluarga yang lain untuk menguruskan kerja-kerja seharian dan membantu penjagaan bayi dan anak anda yang lain semasa tempoh berpantang kerana anda masih lemah.
4) Rehat yang cukup adalah penting. Ambil udara segar di luar dan jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang
5) Beri masa untuk diri anda sendiri.
6) Diet dan pemakanan yang berkhasiat untuk kembali cergas.


KEMURUNGAN SELEPAS BERSALIN (POSTPARTUM DEPRESSION)

Gejala kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan daripada pakar. Ia lebih teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia boleh berlaku satu dalam setiap lapan (1:8) ibu-ibu yang melahirkan anak atau 10% hingga 20% daripada ibu-ibu ynag mengandung. Ia berlaku lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas setahun kelahiran anak. Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran atau kematian bayi dalam kandungan.


Ibu-ibu yang mengidap kemurungan selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lebih lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues. Secara psikologinya , ibu-ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin mengalami perasaan sedih yang berterusan sepanjang hari dalam jangkamasa yang panjang. Mereka merasa kehidupan seharian tidak bahagia atau ceria lagi walaupun telah menimang cahaya mata. Mereka sering menangis dan merasa resah. Perasaan rasa tidak berguna, tidak bersemangat dan rasa bersalah menyelubungi kotak fikiran mereka. Mereka tidak dapat lagi menumpukan perhatian dan mudah lupa semasa melakukan kerja seharian. Selera makan berkurangan dan tidur yang tidak mencukupi. Gejala ini jika tidak dirawat boleh berterusan sehingga satu atau dua tahun dan bertukar menjadi psikosis selepas bersalin



PSIKOSIS SELEPAS BERSALIN (POSTPARTUM PSYCHOSIS)

Psikosis selepas bersalin atau Postpartum Psychosis juga di panggil gila meroyan merupakan masalah psikosis paling teruk yang jarang berlaku selepas bersalin. Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin, manifestasinya yang lebih mirip kepada masalah emosi dan prognosis yang lebih baik.

Di kalangan seribu ibu-ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang daripada mereka (1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin.

Ia biasanya bermula 3 hingga 5 hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu yang pertama selepas kelahiran. Namun ada kajian mendapati ia boleh berlaku beberapa jam selepas bersalin. Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin. Namun terdapat percanggahan di kalangan pakar tentang tempoh ini. Bulan awal kelahiran merupakan waktu yang kritikal dan ramai wanita yang mengidap psikosis selepas bersalin mengalami psikosis yang ketara pada waktu ini .

Gejala psikosis selepas bersalin bermula dengan gagguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang, Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang mengidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosis yang tidak stabil dan berubah-ubah. Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis.

Psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu , bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh daripada mereka (50%) mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusion. Mereka mempunyai kepercayaan yang karut tentang bayi yang baru dilahirkan. Ada di kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayi tersebut cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya. Terdapat juga pesakit yang mempunyai kepercayaan karut seperti mendakwa mereka tidak pernah mengandung, diri diperkosa, rahim mereka tercedera dan sebagainya. Satu perempat daripada mereka ( 25%) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya.

Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut malahan 4% daripada mereka cuba membunuh bayi (infanticide) mereka sendiri .Kadar bunuh diri di kalangan ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah tinggi sehingga mencecah 5%.

Gejala psikosis selepas bersalin ini boleh berulang sehingga 25%-75% daripada mereka yang telah mendapat penyakit ini akan mendapat gejala tersebut pada kelahiran seterusnya. Prognosis penyakit ini adalah lebih baik berbanding psikosis lain seperti schizophrenia.

FAKTOR RISIKO GANGGUAN PSIKOLOGI SELEPAS BERSALIN

1) Mempunyai sejarah penyakit mental
Wanita yang pernah mengalami penyakit mental seperti bipolar disorder, depressive disorder atau psikosis selepas bersalin sebelumnya lebih berisiko .

2) Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai sakit mental
Lebih kurang 50% daripada ibu yang terlibat mempunyai sejarah keluarga dengan masalah emosi seperti kemurungan.

3) Melahirkan anak pertama ( Primaparity)
Wanita yang melahirkan anak buat pertama kali adalah dua kali ganda berisiko untuk mendapat psikosis selepas bersalin. Mereka yang masih muda dan mentah mempunyai kurang pengalaman menghadapi stress dalam penjagaan anak, mengurus diri semasa berpantang dan tekanan kehidupan baru sebagai ibu.

4) Komplikasi semasa mengandung
Ibu yang mempunyai komplikasi semasa mengandung seperti perdarahan, kencing manis dan darah tinggi semasa mengandung berhadapan dengan stress dan lebih berisiko mendapat psikosis selepas bersalin.

5) Komplikasi semasa melahirkan anak
Ibu yang mempunyai komplikasi semasa melahirkan anak sepertikelahiran pramatang, kelahiran songsang (breech delivery), pembedahan caesarian, tali pusat terbelit, bayi yang lahir bermasalah seperti cacat atau kematian bayi dan sebagainya berhadapan dengan stress dan lebih berisiko mendapat psikosis selepas bersalin

6) Masalah Sosial
Ibu yang mempunyai masalah sosial seperti ibu-ibu yang melahirkan anak tanpa berkahwin, ibu-ibu tunggal yang telah berpisah tanpa sokongan suami juga berisiko. Di samping itu masalah seperti kekurangan wang, pergaduhan suami isteri , pertelingkahan dengan mertua dan lain-lain masalah kehidupan meyebabkan ibu-ibu stress dan berisiko untuk psikosis selepas bersalin.



KESAN NEGATIF GANGGUAN PSIKOLOGI SELEPAS BERSALIN

Ibubapa berperanan penting dalam mendidik anak dan bertindak sebagai perantara pertama antara kehidupan anak dengan alam sekeliling. Ia bermula dari dalam kandungan ,awal kelahiran dan sehinggalah anak membesar. Anak-anak belajar daripada interaksi yang berlaku antara ibubapa dengan mereka. Ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi dan gangguan psikologi boleh memberi kesan yang negatif bukan sahaja terhadap diri mereka sendiri tetapi juga bayi yang baru dilahirkan. Berikut adalah antara kesan negatif tersebut:

1) Perkembangan bayi terbantut
Kajian menunjukkan gangguan psikologi ibu selepas bersalin boleh menyebabkan gangguan perkembangan kognitif seperti perkembangan IQ dan perkembangan bahasa atau pertuturan anak atau bayi yang dilahirkan

2) Perubahan tingkahlaku anak
Ibu yang mengalami kemurungan atau psikosis tidak dapat lagi memberi perhatian kepada anak yang baru di lahirkan. Jika masalah ini berlanjutan gangguan tingkahlaku anak juga akan berlaku. Ia lebih ketara di kalangan ibu-ibu yang mendapat penyakit ynag berulang.

3) Kes bunuh diri dan membunuh anak (infanticide)
Di peringkat yang teruk 5% daripada ibu yang mengalami gangguan mental ini boleh membunuh diri sendiri dan 4% daripada mereka membunuh anak yang dilahirkan. Kebanyakannya adalah disebabkan gangguan psikosis yang dialami.

4) Kualiti kehidupan dan aktiviti seharian ibu, anak dan keluarga terjejas
Disebabkan gejala kemurungan dan psikosis ini kualiti kehidupan dan aktiviti seharian bukan sahaja pesakit yang terlibat tetapi juga anak dan keluarga juga terjejas. Kebahagiaan yang digambar dengan kelahiran anak bertukar menjadi huru hara.



RAWATAN

Psikosis dan kemurungan selepas bersalin adalah gangguan emosi yang serius . Implikasi terhadap pesakit dan bayi adalah merbahaya jika tidak dirawat dengan baik. Ia tidak boleh hanya dirawat dengan ubat-ubatan tradisional dan kaunseling sahaja.

Langkah pencegahan

1) Dapatkan keluarga yang memahami, membantu anda dan persekitaran yang tenang semasa mengandung dan selepas bersalin.

2) Sebagai langkah awal sebelum ia berlaku, wanita yang telah pernah mengidap penyakit ini perlu mendapat rawatan daripada pakar psikiatri. Laporkan kepada bidan yang bertugas di klinik antenatal bahawa anda pernah mengalami kemurungan , psikosis selepas bersalin atau gangguan mental yang lain.

3) Pakar psikiatri mungkin perlu memulakan ubat-ubatan yang selamat sebagai langkah pencegahan kepada pesakit yang telah mempunyai sejarah penyakit mental.


Sokongan Keluarga

1) Keluarga terutama suami perlu memberi sokongan kepada ibu-ibu yang berisiko dan mereka yang mengalami psikosis selepas bersalin.
2) Elakkan percanggahan pendapat , pergaduhan dan sebagainya yang boleh meningkatkan stress pesakit.
3) Bantu pesakit menguruskan diri semasa berpantang.
4) Fahami masalah psikologi selepas bersalin
5) Membantu penjagaan bayi yang baru dilahirkan jika didapati pesakit tidak mampu dan membahayakan


Rawatan Kepakaran

1) Pesakit perlu dimasukkan di hospital jika tiada sokongan keluarga dan didapati merbahaya kepada diri sendiri atau bayi dan orang sekeliling.
2) Perbincangan dengan pakar psikiatri untuk memulakan ubat-ubatan seperti ubat untuk psikosis dan kemurungan. Berbincang juga mengenai kebaikan dan komplikasi ubat-ubatan tersebut. Terdapat juga alternatif lain seperti rawatan elektrokonvulsif jika ia dirasakan perlu.
3) Bayi boleh diberi penyusuan jika pesakit tidak merbahaya dan ubat-ubatan tidak memberi komplikasi serius kepada bayi yang disusui. Perbincangan dengan pakar amat penting.
4) Perbincangan dengan pakar psikologi untuk menangani masalah sosial yang dihadapi oleh pesakit, keluarga dan cara-cara menguruskan stress.